Asklegal
Home banner e808

Criminal

RASUAH SEKS SEBAGAI SATU GANGGUAN SEKSUAL DI MALAYSIA

about 8 years ago afiqahmad10

5

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Picture credit: rudnermacdonald.com


Gangguan Rasuah Seks di Malaysia

Kewujudan rasuah seks sudah lama berlaku dan ianya merupakan salah satu bentuk gangguan seksual selain daripada mencabul kehormatan, liwat dan sebagainya. Rasuah seks sebenarnya boleh berlaku di mana-mana tempat tanpa mengira jantina, peringkat umur dan juga status seseorang individu iaitu lelaki mahupun wanita.


Rasuah seks juga boleh berlaku dalam pelbagai cara iaitu melalui perkataan, tingkah laku dan lain-lain yang boleh menunjukkan ajakan, perbuatan (actus reus) dan niat (mens rea) seseorang itu untuk mendapatkan habuan seks.


Kebanyakan kes rasuah seks melibatkan kaum wanita berbanding lelaki kerana sifat wanita cenderung menjadi lemah dan mudah di pengaruhi apabila menghadapi tekanan.



Gangguan seksual dari sudut perundangan

Dari sudut perundangan, gangguan seksual merupakan diskriminasi gender yang melibatkan dua jenis tingkah laku iaitu;


(a) “Quid Pro Quo Harassment” apabila gangguan seksual di tempat kerja ini melibatkan ancaman seks atau rasuah seks yang dijadikan syarat bagi mendapatkan keistimewaan layanan berkaitan pekerjaan atau digunakan sebagai asas dalam membuat sesuatu keputusan dalam organisasi, dan


(b) “Hostile Environment Harassment” pula merujuk kepada tingkah laku seperti jenaka seksual, komen yang menyentuh dan menganggu keupayaan seseorang individu untuk melakukan kerjanya sehingga boleh menimbulkan ketakutan, prmusuhan atau menyinggung kepada persekitaran kerja.


Keadaan yang sama di terima pakai dalam perundangan Malaysia, seperti Kanun Keseksaan dan Akta Pekerjaan 1955 (pindaan 2012).



Apakah definisi rasuah?

Perkataan "Rasuah" tidak diberi definisi di dalam undang-undang Malaysia. Seksyen 2 Akta Pencegahan Rasuah 1997 [Akta 575] yang in pari materia dengan Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] di bahagian tafsiran, kedua-dua Akta ini tidak terdapat perkataan “rasuah” secara khusus tetapi hanya menggunakan perkataan suapan.


Berdasarkan kepada kes-kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah sebelum ini, boleh dirumuskan bahawa rasuah seks boleh di tafsirkan sebagai maksud “suapan” walaupun takrifan suapan tidak menyebut perkataan “rasuah seks” secara khusus.



Di manakah jenayah rasuah seks berlaku?

Jenayah gangguan seksual di tempat kerja boleh berlaku melibatkan jantina berlainan dan jantina yang sama, dan antara ketua jabatan atau syarikat dengan pekerja bawahan, antara rakan sekerja, pekerja dengan pelanggan atau sebaliknya.Rasuah seks sebagai satu bentuk gangguan seksual, boleh juga berlaku dalam sektor awam dan sektor swasta,di institusi pendidikan, di jalanan dan di tempat persendirian. Namun begitu senario gangguan seksual yang berlaku pada sekarang sangat pelbagai termasuk termasuklah kes-kes jenayah yang melibatkan rasuah seks.


Pencegahan rasuah Seks

Pencegahan kesalahan jenis ini mengguna-pakai Akta Pencegah Rasuah 1961 (Akta 57), Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Di Malaysia, terdapat beberapa kes (Akta 694) melibatkan rasuah seks.


Antaranya ialah Public Prosecutor v Md Ali Jaafar [1997] 2 CLJ Supp 150; [1998] 4 CLJ Supp 208, di mana tertuduh iaitu Md Ali Jaafar telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka dengan dua pertuduhan rasuah seks daripada seorang perempuan.


Kes Bakri Mohamad Ali v PP [2010] 1 CLJ 610, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh dengan dua pertuduhan iaitu pada 28 Ogos 2001, tertuduh telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu habuan seks daripada Noor Hayati bt. Yusop yang merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575).


Kes rasuah seks yang terkini dilaporkan berlaku di Kedah apabila seorang Pegawai Tadbir di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 2 Disember 2014 atas pertuduhan meminta dan cuba memperoleh layanan seks sebagai dorongan untuk membantu meluluskan permohonan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di negeri tersebut.



Kesan jenayah rasuah seks terhadap mangsa

Memandangkan jenayah rasuah seks adalah sebahagian daripada gangguan seksual, maka kesan perilaku jenayah ini adalah sangat memberi kesan yang mendalam kepada mangsa.


Antara kesan-kesan rasuah seks ialah berlakunya gangguan ke atas emosi dan fizikal mangsa. Kesan ini adalah secara langsung berkaitan dengan tekanan emosi yang dialami oleh mangsa rasuah seks.


Mangsa yang selalu menerima permintaan mengadakan hubungan seksual daripada pegawai superior selalunya akan berasa tertekan sehingga hilang selera makan, sakit kepala, gangguan tidur dan perasaan cemas.


Selain itu, mangsa juga akan mengalami tekanan dari segi faktor kewangan khususnya apabila kes rasuah seks berlaku di tempat kerja. Mangsa yang enggan menuruti kemahuan pihak superior untuk mengadakan hubungan seksual akan menerima ugutan jenayah yang lain seperti akan diberhentikan kerja, akan diturunkan pangkat, tidak diberikan bonus, dinafikan hak untuk maju ke depan dan lain-lain.


Oleh itu, mangsa yang trauma akan bertindak untuk tidak hadir ke tempat kerja seterusnya meletak jawatan. Akibat daripada faktor ini maka mangsa akan hilang punca pendapatan bagi menyara keluarga atau membantu suami dari segi kewangan tambahan.


Kesan jenayah rasuah seks terhadap ekonomi sejagat

Akhir sekali, kesan global yang boleh dikaitkan dengan jenayah rasuah seks ialah kesan ekonomi sejagat. Setiap tahun, beberapa organisasi mengalami kerugiuan berjuta-juta akibat ketidakhadiran pekerja, produktiviti yang rendah, moral yang rendah, dan kos undang-undang sangat tinggi yang berpunca dari masalah gangguan seksual.


Ekonomi negara juga merudum kerana mangsa boleh bersara awal dan kos pampasan/ganjaran/insurans yang lebih tinggi. Rasuah seksual juga boleh memberi kesan kepada hasil kerja.



Kata penutup

Justeru itu, isu rasuah seks walaupun secara senyap tidak boleh dipandang remeh dan sepatutnya isu ini perlu diberi perhatian yang secara meluas terutamanya kepada kaum wanita yang mudah terdedah kepada jenayah ini.


Bagi memastikan bahawa isu ini dapat dibanteras sepenuhnya, maka adalah perlu suatu mekanisma perundangan yang lebih berkesan terutamanya keperluan kepada tafsiran yang lebih spesifik terhadap rasuah seks sama ada dalam kes jenayah atau kes tuntutan sivil di bawah undang-undang pekerjaan.



Fieza Fazlin & Rohani A Rahim (UKM)
Tags:

5

Shares

A+

A-