General

Kena ada permit sebelum boleh sembelih haiwan korban. Dan 4 lagi fakta yang anda kena tahu

 over 5 years ago   Azar Ishak


Rasanya, baru je hari tu kita sambut Hari Raya Aidilfitri, sekarang ni dah nak sambut Hari Raya Aidiladha pula. Berbeza dengan Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha lebih sinonim dengan ibadah haji dan ibadah korban. Sebab itu jugalah, ada orang panggil hari raya ni sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.

Bagi yang menunaikan haji, bermula pada 9 Zulhijjah ni mereka akan berwukuf di Padang Arafah dan seterusnya akan melaksanakan tawaf di Kaabah, saie dan sebagainya. Bagi yang tak tunaikan haji pula, biasanya mereka akan jalankan ibadah korban dekat kawasan masing-masing. Di Malaysia ni, antara haiwan yang popular dikorbankan mestilah lembu dan kambing. Kadang-kadang tu ada juga yang korbankan unta atau kibas, tapi jaranglah berlaku. 

Walaupun ibadah korban ni dah biasa dilaksanakan di Malaysia, tak dapat dinafikan masih ada persoalan dan fakta yang kita mungkin tak tahu atau terlepas pandang. Dan antaranya adalah…

 

1. Tak boleh sembelih haiwan korban kalau tak ada permit 

Imej dari BH Online.

Menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sampai Jun 2019, permintaan stok bekalan lembu untuk penyembelihan Hari Raya Korban mencecah sebanyak 48,048 ekor, manakala kambing dan biri-biri sebanyak 35,940 ekor. Permintaan ni dijangka bertambah, sehingga sehari sebelum Hari Raya. 

Seperti mana yang kita tahu, kebanyakan aktiviti korban ni nanti akan dijalankan di tempat awam seperti di kawasan masjid dan surau. Tapi korang tahu tak yang penyembelihan di luar rumah penyembelihan hanya boleh dibuat kalau dapat permit daripada JPV? Berdasarkan Kaedah 5(1) Akta Binatang 1953, Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009, dinyatakan:

Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kaedah-Kaedah ini, tiada seorang pun boleh menyembelih atau menyebabkan disembelih apa-apa binatang kecuali di rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan.

Manakala, dalam Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban terbitan JPV pula kata – mana-mana pihak (sama ada pengurusan atau individu) yang nak buat penyembelihan di luar rumah penyembelihan kena dapatkan Sijil Kesihatan Veterina, Akuan Kebenaran Pindah dan Permit Penyembelihan Luar. Ketiga-tiga dokumen ni boleh didapati dari Pusat Veterinar Kecil, Pejabat Veterinar Daerah, Ibu pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri dan Rumah Sembelih Jabatan. 

Tujuannya adalah untuk memastikan haiwan tu diuruskan dalam keadaan yang betul, bersih, tak berpenyakit dan selamat dimakan. Malah, pada tahun ni seramai 317 pegawai JPV ditugaskan untuk membuat pemeriksaan veterina di seluruh negara sepanjang musim Aidiladha. 

 

2. Ibadah korban cuma boleh dijalankan dalam tempoh 4 hari 

Imej dari gifimgs.com

Menurut pandangan majoriti ulama, hukum melaksanakan ibadah korban ni adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut) bagi setiap individu yang mampu. Tapi bila memilih haiwan yang nak dikorbankan, ia mestilah cukup umur seperti mana yang ditetapkan. Secara ringkasnya, ia adalah:

  • Unta – 5 tahun
  • Lembu – 2 tahun
  • Kerbau – 2 tahun 
  • Kambing – 2 tahun
  • Biri-biri – 1 tahun
  • Kalau haiwan tu masih tak cukup umur, korang tak boleh jadikannya haiwan korban. Kalau buat juga, korban korang tu dikira tak sah. Selain itu, haiwan yang nak dikorbankan tu juga mestilah tak cacat, macam – kaki tempang, buta, cedera, kurus sangat, berpenyakit dan sebagainya.

    Penyembelihan pula mestilah dibuat pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 sampai 13 Zulhijjah). Jadinya, korban tak sah kalau dibuat sebelum 10 Zulhijjah atau lepas 13 Zulhijjah. Satu lagi yang kita kena tahu, walaupun dah masuk 10 Zulhijjah, korban masih tak boleh dibuat, sebelum selesainya Solat Sunat Aidiladha.

    “Penyembelihan dilakukan apabila berlalu masa dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan khutbah. Sebagai contoh: Masa yang ditetapkan untuk solat sunat Hari Raya pada jam 8.30 pagi dan selesai pada jam 9.30 pagi. Maka waktu berkorban bermula pada jam 9.30 pagi.” – Dipetik dari JAKIM

    Dalam masa sama, kebenaran dari JPV untuk menyembelihan haiwan korban di luar rumah penyembelihan juga hanya dibenarkan dalam tempoh 4 hari ni. Tapi bila dah korbankan haiwan, mesti nak agihkan daging tu kan. Sebenarnya, ada syarat-syarat tertentu untuk agihkan daging korban, dan boleh ke bagi daging korban kepada orang bukan Islam?

     

    3. Ada fatwa negeri yang benarkan orang bukan Islam terima daging korban

    Imej dari Dunia Korban.

    Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, ada beberapa cara pembahagian daging korban yang boleh diamalkan, antaranya:

    1. Disunatkan orang yang lakukan korban ambil 1/3 dari daging korban untuk dirinya dan sedekahkan 2/3 lagi kepada golongan fakir miskin.
    2. Atau, orang yang lakukan korban ambil 1/3 daging korban, agihkan 1/3 lagi kepada fakir miskin dan 1/3 bakinya sebagai hadiah kepada golongan kaya (macam saudara mara dan jiran tetangga). Tapi bagi sedekah 2/3 kepada fakir miskin lebih baik dari bagi kepada orang kaya.
    3. Lebih dituntut lagi, sedekahkan kesemua bahagian daging korban dan cuma ambil sikit je sekadar untuk ambil berkat. Amalan ni lebih baik sebab tak mementingkan diri sendiri dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

    Tapi, boleh ke daging korban tu diberikan kepada orang bukan Islam?

    Dalam hal ni, ada dua pandangan iaitu boleh dan tak boleh. Bagi pandangan Imam Syafie (Mazhab Syafie yang diamalkan di Malaysia) hukumnya adalah haram. Bagaimanapun, masih ada ulama besar lain yang kata hukumnya ‘harus’, seperti Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) dan Imam Ahmad bin Hanbal (Mazhab Hanbali). 

    Sesuai dengan kedudukan Malaysia yang amalkan Mazhab Syafie, ada negeri macam Johor yang berpegang dengan pandangan tak boleh beri daging korban kepada orang bukan Islam. Tapi, kalau daging tu dah dimasak dan nak dihidangkan kepada rakan-rakan termasuk yang bukan Islam, ia dibolehkan.

    “Namun dalam masalah agihan daging korban, hendaklah didahulukan kepada masyarakat Islam setempat yang memerlukan. Sekiranya terdapat lebihan daging yang tidak dikehendaki oleh masyarakat Islam dan dalam masa yang sama terdapat kafir dzimmi yang miskin yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam, maka bolehlah daging korban sunat tersebut diberikan kepada mereka atas konsep dakwah...” – Dipetik dari keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor (24 Ogos 2016)

    Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pula baru-baru ni keluarkan fatwa yang daging korban tak harus diberikan kepada orang bukan Islam. Tapi dalam masa sama, masih ada fatwa negeri-negeri lain yang membenarkannya, macam Sabah dan Perlis. Fatwa Negeri Perlis menyatakan:

    “Daging korban tatawwu’ ( korban sunat) adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban, diberi hadiah dan disedekahkan kepada fakir miskin. Adapun untuk orang kafir di Malaysia, maka hukumnya adalah Harus akan tetapi keutamaan adalah kepada golongan fakir miskin di kalangan orang Islam.” – Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis (2 Januari 2003)

    Lepas kita bincang pasal pembahagian ni, ada juga persolaan pasal...

     

    4. Boleh ke kita jual daging korban?

    Agih daging korban. Imej dari MAIS

    Sebenarnya, hukumnya adalah haram untuk orang yang melakukan korban atau warisnya menjual daging korban tersebut. Haram jual tu bukan je daging, tapi juga termasuk kulit, bulu dan apa sahaja yang ada daripada haiwan korban itu.

    Tapi, untuk daging korban yang dah disedekahkan pula, daging korban tu menjadi milik sepenuhnya si penerima. Jadinya, si penerima tadi bebas nak buat apa je dengan daging tu, sama ada – jual, lelong atau hadiahkannya kepada orang lain. 

    Dalam isu beri daging korban sebagai upah kepada penyembelih dan pelapah pula, hukumnya sama iaitu haram. Ini kerana, ia boleh dihukum jualan, sebab kedudukannya sebagai upah. 

    “Hukum sembelihan korban sama seperti hukum sembelihan haji di mana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya.” – Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

    Oleh itu, pihak masjid atau surau dinasihatkan supaya sediakan peruntukan untuk upah tukang sembelih dan mereka yang sertai ibadah itu. Dalam masa sama, kita juga selalu dengar pasal haiwan-haiwan korban yang ditaja oleh pihak-pihak tertentu.

     

    5. Apa status haiwan korban yang ditaja?

    Imej dari Utusan.

    Benda ni timbulkan persoalan sebab seperti mana yang kita tahu, ibadah korban ni untuk individu. Tapi, kita selalu je dengar pasal haiwan-haiwan korban yang ditaja oleh pertubuhan tertentu, kerajaan negeri/pusat, syarikat dan sebagainya. 

    Sebenarnya, ia dikira sebagai haiwan sumbangan sahaja. Ini kerana, entiti macam pertubuhan, kerajaan negeri/pusat dan syarikat tu bukanlah individu. Tapi, pihak yang menerima haiwan korban tu pula yang menjadi pe­milik haiwan tersebut. Maka pihak penerima haiwan seperti masjid sewajarnya menguruskan haiwan tersebut sebagai haiwan korban. Caranya dengan menawarkan haiwan korban kepada para jemaah surau atau masjid dengan bayaran tertentu.

    Kalau masjid pula yang menaja haiwan korban, ia masih sama iaitu ahli kariah masjid dinamakan untuk haiwan-haiwan yang akan dikorbankan tu. Dr Zulkifli al-Bakri berkata, lebih utama dan baik kalau nama-nama tu terdiri dari kalangan fakir miskin

    Dalam pada itu, muncul juga persoalan tentang macam mana kalau haiwan korban tu adalah hasil sumbangan daripada orang bukan Islam? Dr Zulkifli perpandangan, hukumnya boleh sebab ia dikira sebagai hibah (pemberian hadiah) dan Islam tak larang Muslim terima hadiah daripada orang bukan Islam. 

    “Makanya kita katakan di sini bahawa hukum menerima lembu korban hasil sumbangan daripada bukan Islam adalah harus dan dibolehkan.” – Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

     

    Walaupun ibadah ni dilakukan dengan semangat, tapi kita juga kena jaga adab

    Imej dari JAKIM.

    Salah satu hikmah ibadah korban ni dilaksanakan adalah, ia memupuk semangat kerjasama dan bergotong-royong di kalangan masyarakat. Masa inilah, jiran tetangga dan kariah berkumpul dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Tapi tak dapat dinafikan ada juga kes-kes yang tak diingini berlaku masa aktiviti ni berjalan.

    Empat tahun lepas, kita dilaporkan tentang seorang wanita cerdera parah akibat ditanduk lembu korban. Malah, ada juga kes seorang lelaki maut kerana ditanduk lembu korban. Jadinya, kes macam ni dah beri kita isyarat tentang pentingnya aspek keselamatan dalam aktiviti korban. Oleh itu, diharapkan semua yang akan menyertai aktiviti ni nanti supaya utamakan keselamatan masing-masing.

    Selain tu, sebelum ni, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ada nasihatkan orang ramai supaya tak ‘memviral’ gambar gelagat haiwan korban kerana bimbang menimbulkan salah faham serta tanggapan negatif di kalangan masyarakat. Jadinya, bersempena hari baik dan bulan baik ni, eloklah kita semua menjaga adab dan sensitiviti masyarakat. Dan ASKLEGAL juga ambil kesempatan ni untuk mengucapkan –  SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA!

     

    This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

    Tags:
    ibadah korban
    syarat korban
    permit korban
    jabatan perkhidmatan veterinar (jpv)
    daging korban untuk orang bukan islam
    jual daging korban