Consumer
Bagaimanakah anda boleh mengenal pasti barang farmasi dan kosmetik yang selamat digunakan di Malaysia?
over 6 years ago Denise C.
Artikel ini diterjemahkan dari Bahasa Inggeris. Click here for the English version.
Pernahkah anda terbaca siaran Facebook dari rakan rakan anda yang mengatakan bahawa, “KINI JERAWAT MUKA BOLEH SEMBUH DENGAN SEKELIP MATA DENGAN SATU LANGKAH YANG MUDAH! SUNGGUH MUDAH DENGAN JENAMA XX. GUNAKAN SEKALI SEHARI DAN LIHAT PERUBAHANNYA DALAM 3 HARI. HUBUNGI SAYA UNTUK MAKLUMAT LANJUT. #JENAMAXXTERBAIK #TERBAIK”
Jika ya, selamat datang ke dunia suplemen dan kosmetik. Cuma di sini suplemen atau kosmetik yang diiklankan adalah dari jenis yang kurang ternama dan yang kebanyakannya dipasarkan melalui laman sosial sahaja. Sebagai contoh, sebuah kedai kosmetik yang baru dibuka dengan nama Sefarra telah dituduh meniru jenama terkenal, Sephora dan menjual kosmetik tiruan. Mungkin kita menjangka iklan untuk suplemen dan ubat yang disyorkan oleh doctor dan ahli farmasi bertauliah, tetapi sebaliknya, iklan yang kita bertembung online pula berunsurkan "ubat kuat lelaki".
Selain itu, bulan lalu, pihak polis telah menahan sekumpulan adik beradik di Pulau Pinang dan merampas ubat-ubatan palsu seberat 18kg milik mereka.
Persoalannya, https://www.nst.com.my/news/crime-courts/2017/09/283692/brother-and-sister-team-busted-operating-ecstasy-lab-penang Sebagai langkah berjaga jaga, lebih baik jika kita hanya menggunakan barangan yang terkenal dan sudah sedia lama di pasaran seperti produk-produk keluaran Dr. Vida. Tetapi tahukah anda bahawa sesetengah produk Dr. Vida telah diharamkan oleh Kementerian Kesihatan atas sebab keselamatan konsumer sebab produk-produk tersebut didapati mengandungi racun berjadual seperti raksa (mercury)? Untuk pengetahuan anda, pengambilan raksa boleh mengakibatkan kesan psikotik dan pengambilan berpanjangan boleh mengakibatkan kekejangan otot dan maut.
Ya, anda boleh membaca label yang tertera di barangan barangan ini tapi siapa yang faham sangat apa yang tertulis pun? Jadi, adakah barangan ini dikawal oleh kerajaan?
Ya, barangan ini mesti didaftarkan di bawah Kementerian Kesihatan
Sebenarnya, ada banyak undang undang yang mengawal (sesetengah undang-undang ini bertindih antara satu sama lain) ubatan dan kosmetik seperti Akta Jualan Dadah 1952, di mana Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Garis Panduan Permohonan Memperolehi dan Menggunakan Ubat-Ubatan telah diberi kuasa undang-undang dari Akta tersebut, yang juga ada menyebut tentang Akta Dadah Merbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Pening kan? Pendek kata, memang banyak.
Untuk mengelakkan artikel ini menjadi lebih panjang dari jangka hayat purata kita, kita hanya akan merujuk kepada segelintir undang-undang yang mengawal dunia ubatan dan kosmetik. Satu benda yang harus anda ambil perhatian tentang ialah barangan ini dikawal oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (BRFN), sebahagian daripada Kementerian Kesihatan.
Undang-undang pertama yang akan dilihat ialah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (“PKDK 1984”) yang berkaitan dengan jenis-jenis pendaftaran yang diperlukan oleh dadah dan kosmetik.
Untuk tujuan penjelasan para pembaca, pendaftaran bagi dadah dan barangan kosmetik adalah berbeza dari pendaftaran ubat yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan (bukan BRFN). Artikel ini tidak akan menyentuh tentang proses pendaftaran ubat dengan Kementerian Kesihatan.
Di bawah Peraturan 7(1) PKDK 1984, pengilangan, penjualan, pembekalan, import, pemilikan dan pemberian barangan hanya boleh dilakukan untuk barangan yang telah didaftar di bawah PKDK 1984 dan hanya boleh dilakukan oleh sesiapa yang telah memperoleh lesen yang dikeluarkan di bawah PKDK 1984.
Persoalan seterusnya adalah; bagaimana lesen ini dikeluarkan? Menurut Peraturan 12, terdapat pelbagai jenis lesen yang dikeluarkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi seperti:
- Lesen Pengilang yang membenarkan pengilangan dan penjualan secara borong atau penjualan barangan.
- Lesen Borong yang membenarkan penjualan secara borong atau penjualan barangan.
- Lesen Ujian Klinikal yang membenarkan pengimportan barangan (samada yang didaftar atau tidak) untuk tujuan ujian klinikal sahaja.
- Lesen Import yang membenarkan pengimportan dan penjualan secara borong atau penjualan barangan.
Kesemua lesen ini harus disertakan sekali dengan barangan yang telah didaftarkan dengan sempurna (Peraturan 8). Di samping itu, Peraturan 7B ada memberi perlindungan kepada pengguna di mana jika ada barangan yang mengandungi bahan tambahan yang tidak terdapat dalam bahan-bahan yang tersenarai dalam daftar barangan ataupun dilabelkan dengan label yang berbeza, maka barangan tersebut akan dikira tidak berdaftar dengan sah.
Sebagai contoh, jika Barangan A yang didaftar dengan Bahan B dan Bahan C didapati mengandungi Bahan D, maka status perlesenan akan dilucutkan oleh pihak berkuasa. Selain itu, jika Barangan A didaftarkan sebagai ubat demam tetapi dilabelkan sebagai ubat sakit kepala, status perlesenan juga akan dilucutkan.
Maka selesai sudah dengan penerangan ringkas di atas, mari kita lihat kawalan ke atas barangan kosmetik.
Kawalan barangan kosmetik pula adalah sedikit berbeza. Ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi, di mana sekiranya peraturan-peraturan ini tidak dipatuhi, barangan kosmetik tersebut boleh dilarang dari dikilang, dibekal, dijual, diimport, diberi atau diproses. Menurut Peraturan 18A, larangan pengilangan dan jualan boleh dikuatkuasakan sekiranya:
- Barangan kosmetik tersebut tidak dimaklumkan kepada BRFN
- Individu terlibat bukan individu yang telah ditentukan untuk menempatkan kosmetik di pasaran
- Barangan kosmetik sudah dimaklumkan kepada BRFN tetapi mengandungi bahan beracun (seperti ditentukan Akta Racun)
- Barangan kosmetik termaklum dicampur dengan bahan lain yang berdaftar (dadah, ubat tradisional dll.)
- Barangan kosmetik dilabel dengan nama lain
- Barangan kosmetik tidak dilabel mengikut garis panduan dan arahan yang telah ditetapka
- Pemakluman barangan kosmetik telah dibatalkan oleh Pengarah Khidmat Farmasi
- Barangan kosmetik dilabel degan kenyataan, symbol atau ciri keselamatan yang didakwa benar tetapi belum disahihkan kebenarannya.
Ada banyak peraturan yang melarang penjualan kosmetik, dan ada banyak juga garispanduan sampingan yang perlu dipatuhi seperti yang termaktub dalam Garispanduan Pengisytiharan Kosmetik (Cosmetic Claims Guidelines). Pendek kata ia menjelaskan secara terperinci bagaimana sesebuah barangan boleh ditakrifkan sebagai barangan kosmetik dan dakwaan yang tidak boleh diterakan untuk barangan tersebut. Contohnya, tahukah anda bahawa barangan kecantikan kulit dilarang sama sekali mendakwa bahawa ia boleh memundurkan atau melambatkan proses penuaan?
Jadi kita dah bincang pasal rang undang undang yang menentukan proses pendaftaran dan makluman, mari kita berbincang tentang satu persoalan yang amat penting.
Imej dari play.google.com
Bagaimana nak kenalpasti barangan palsu?
Betul ke krim muka ni tak mengandungi raksa? Atau mungkin pil pelangsing badan ni sebenarnya bedak sejuk. Bangaimana saya nak dapatkan kepastian?
Amat mudah! Tak payah bangun dari kerusi pun. Cuma layari laman sesawang BRFN di sini, dan cari barangan di bawah nama, pengilang, nombor siri dan sebagainya. Kalau ada dalam senarai, maka gunakanlah tanpa was was!
Laman sesawang BRFN juga mengandungi senarai barangan yang berdaftar dan termaklum yang telah dibatalkan tarafnya oleh BRFN di sini.
Selain itu, barangan-barangan yang berdaftar ini disertakan dengan ciri keselamatan iaitu pelekat hologram keselamatan (Meditag). Ini bermakna barangan farmasi, tradisional dan semulajadi berdaftar yang mempunyai Meditag ini boleh disahkan kesahihannya di mana mana farmasi yang mempunyai penyahkod hologram Meditag. Di samping itu, ada juga aplikasi telefon bimbit yang anda boleh muat turun disini untuk tujuan yang sama.
Bagaimana kalau barangan yang anda guna tu palsu?
Buat aduan dengan BRFN
Aduan boleh dibuat secara online di borang aduan BRFN di sini. Lebih lebih lagi, aduan harus dibuat jika anda mendapat reaksi berlainan dari menggunakan barangan ini supaya Kementerian Kesihatan boleh mengambil tindakan.
Satu lagi aduan sampingan boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional, juga secara online di sini.
Maklumat yang dikemukakan oleh kita di sini adalah sebahagian kecil dari undang undang dan peraturan yang digubal oleh kerajaan untuk melindungi kita dari barangan yang merbahaya.
Tapi, kita juga perlu bijak dan berwaspada. Jangan mudah terpedaya dengan iklan dan cadangan rakan rakan anda dengan mudah. Walaupun barangan barangan tersebut telah didaftar dengan sah, bukan semua barangan sesuai untuk anda. Mungkin ia berkesan untuk rakan rakan anda, tetapi mungkin ia boleh membawa kesan sampingan atau alahan kepada anda. Jadi, kita sendiri kena pandai pandai dan berwaspada jika kita terfikir nak menggunakan barangan barangan ini.
This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.
Tags: