Asklegal
Home banner f3a321e2 dfad 4469 9189 c23dac519c1a

General

Sebelum adanya Tanah Melayu, filem dah ditapis. Sejak bila peraturan ni wujud?

about 5 years ago Azar Ishak

26

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Secara umumnya, tujuan utama undang-undang penapisan (censorship law) adalah untuk melindungi masyarakat dari elemen-elemen negatif dalam media. Perkara yang nak ditapis tu mungkin boleh jadi seperti – seksualiti songsang, keganasan berlebihan dan juga ajaran agama yang menegelirukan. Mungkin ada di antara kita yang anggap undang-undang ni berkait rapat dengan nilai-nilai timur kita. Tapi jangan terkejut pula bila dapat tahu yang peraturan ni sebenarnya dah digubal sejak kita belum merdeka lagi. Malah, peraturan tu sendiri bukan kita yang cipta, tapi sebenarnya ia digubal oleh pihak British masa mereka menjajah Tanah Melayu.

Dan sebab kenapa mereka buat macam tu adalah…

 

British bawa undang-undang penapisan untuk lindungi… diri mereka sendiri

Imej asal dari Memedroid

Sejak sebelum British datang dan menjajah negara ni, kita memang dah ada pelbagai jenis hiburan seperti wayang kulit, mak yong, main puteri dan sebagainya. Persembahan teater ini berdasarkan cerita-cerita hikayat dan rakyat masyarakat tempatan masa tu. Disebabkan hal itu juga, tak ada sebarang peraturan yang dibuat terhadap persembahan-persembahan ni, kerana ia dipersembahkan untuk hiburan dan sesuai dengan norma budaya masyarakat kita.

Tapi semuanya mula berubah bila British mula menjajah Tanah Melayu. Masa mereka berada di sini, persembahan tradisional ni tak berapa sesuai dengan citarasa Inggeris, terutamanya di kalangan para askar British. Jadinya, teater Inggeris mereka dibawa masuk ke sini untuk menghiburkan pegawai-pegawai dan askar British di Tanah Melayu. Bersekali dengan teater itu, mereka juga bawa masuk peraturan penapisan (censorship regulations) ke Tanah Melayu. 

Tapi benda ni bukan baik sangat sebenarnya, sebab kalau korang nak tahu – British adalah antara negara yang mempunyai peraturan penapisan paling ketat di dunia. Ia berdasarkan nilai-nilai yang ditetapkan oleh kelas atasan yang fikir mereka ni tahu apa yang terbaik untuk semua orang. Dan inilah puncanya kenapa Enakmen Teater 1895 diperkenalkan. Enakmen ini mengawal selia persembahan teater di bawah kategori tertentu seperti isi kandungan, moral pelakon, masa persembahan dan faktor keselamatan bangunan yang teater itu akan dipersembahkan. 

Bila filem mula dihasilkan, kebanyakan filem-filem ni diimport masuk dari Hollywood dan orang Inggeris tak berapa suka dengan tema-tema yang dipaparkan. Contohnya, watak wanita digambarkan dengan lebih bebas dan ada juga filem yang dianggap merosakkan status orang putih. 

Untuk seiring dengan peredaran masa, peraturan panapisan pun mula berkembang dengan merangkumi kedua-dua medium – teater dan filem. 

 

Filem ditapis dengan bagi polis menontonnya dulu

Pegawai Polis Britih di Tanah Melayu. Imej dari Roots.sg

Pada mulanya, peranan penapisan ditugaskan kepada pihak polis yang dianggap sebagai penjaga moral masyarakat. Sebahagian daripada tugas mereka adalah, mereka akan mengawasi persembahan teater. Polis boleh buat macam tu sebab mereka diberikan hak untuk masuk dalam mana-mana persembahan teater dan berkuasa untuk menghentikannya kalau persembahan tu dianggap tak bermoral. Hal ni sebenarnya berdasarkan budi bicara mereka sendiri sebab tak ada garis panduan jelas yang mereka boleh ikut. 

Dengan kebanjiran kemasukan filem, tugas nak tapis filem ni jadi terlalu banyak sampaikan polis tak cukup tangan nak kendalikannya. Jadinya, tugas rasmi penapisan diperkenalkan di bawah Ordinan Teater 1908, Enakmen 1917. Orang pertama yang dilantik (secara sementara) untuk tugas ni adalah seorang lelaki British bernama F. Neville Piggott, yang kemudiannya diikuti oleh dua orang lagi pegawai penapis sementara. 

Pada tahun 1920, mereka akhirnya dapat melantik pegawai penapis filem tetap secara rasmi, iaitu T.M. Hussey. Dia ni sebenarnya bekas askar yang mula bekerja dekat Ibu Pejabat Polis Negeri-Negeri Selat di Singapura sebagai Pegawai Penapis. Tugasnya tu memerlukan dia jadi sangat rapat dengan sensitviti masyarakat, untuk membantunya memahami apa yang boleh dan tak boleh dipertontonkan kepada orang awam

Ironinya, dia jadi terlalu masuk dengan budaya kita, sampaikan dia mula mengharamkan filem-filem British yang dibawa masuk sebab filem-filem tu dianggap terlalu “Barat” untuk masyarakat kita. Ini membuatkan dia dianggap sebagai anti-British dan autokratik. Dia juga rajin sangat dengan kerjanya. Mana taknya, dia dikatakan dah ditugaskan untuk mengawal selia lebih 4 juta kaki filem! 

“Pada tahun 1932, lelaki malang ini terpaksa memeriksa tak kurang dari 4,577,700 kaki filem, dan bukan hanya perlu menapis semua ini, tetapi juga setiap pengiklanan yang disertakan – treler, poster dan sebagainya.” – Dipetik dari Braddell (The lights of Singapore)

Dia ni memang suka sangat dengan kerjanya, sampaikan dia tak nak bersara masa umur 50 tahun dan buat permohonan untuk sambung bekerja. Permohonan dia tu diterima dan dia sambung kerja untuk beberapa tahun lagi. Dilaporkan, dia bekerja selama 22 tahun, sedangkan pada mulanya dia sepatutnya pegang jawatan tu selama 3 tahun je. Legasinya masih hidup sampai sekarang, dan dia boleh dikatakan Bapa Penapisan Filem Malaysia dan Singapura

Tapi, keadaan ni mula berubah bila Jepun menjajah Tanah Melayu. 

 

Tak ada orang nak tengok filem Jepun :(

Marai no Tora (1943), filem propaganda Jepun di Tanah Melayu. Imej dari Alchetron

Seperti mana yang kita semua tahu, Jepun mula menjajah Tanah Melayu pada tahun 1942 dan berakhir pada 1945. Tempoh ni jadi masa yang cukup sukar untuk rakyat Tanah Melayu masa tu. Bila perang ni jadi, industri filem tempatan pun mula terbantut dan masa tu tak ada sebarang filem yang dihasilkan

Bila nak isi kekosongan tu, Jepun pun bawa filem-filem mereka ke pawagam. Tapi, filem Jepun tak dapat sambutan sebab orang Tanah Melayu lebih suka tengok filem Barat. Jadinya, Jepun haramkan semua filem luar dari ditayangkan (kecuali dari Jepun), dengan harapan orang akan tengok filem mereka. Tapi, masih juga tak ramai orang nak tengok filem Jepun. Maka, Jepun pun buat keputusan benarkan filem-filem dari India, khususnya filem Hindustan masuk ke Tanah Melayu. Filem Hindustan ni dapat kelonggaran sikit sebab ia dianggap kurang mudarat dari filem-filem Barat. Selain tu, filem China juga diharamkan, sebab ada perang antara Jepun dan China masa tu. 

Disebabkan kerajaan Jepun yang kawal industri filem, mereka pun tetapkan garis panduan dan peraturan. Semua pengedaran filem dan teater diletakkan di bawah kawalan Eiga Haikyusha aka – Syarikat Pengedaran Filem Jepun. Syarikat ni buat filem-filem yang sebarkan propaganda Jepun dan mana je panggung yang terselamat dalam peperangan digunakan untuk menyiarkan filem propaganda atau filem Jepun saja. Usaha ini untuk menjadikan orang Tanah Melayu mengamalkan budaya mereka yang dipanggil sebagai Niponisasi.

Untuk bantu usaha ni, ada 2 kategori atau “genre” filem yang dibuat oleh Jepun:

Bunka Eiga Gejiko – badan propaganda kerajaan yang hanya akan menyiarkan berita dan filem pendidikan. Filem-filem ini direka untuk menekankan semangat Jepun, patriotisme mereka, kecemerlangan Angkata Tentera Jepun, industri ringan dan berat Jepun, reputasi kemahiran pengurusan Jepun, mempercepatkan pembinaan semula wilayah yang dijajah dan membina konsensus bahawa Asia bebas dari penjajahan. 
Filem-filem popular Jepun – filem-filem yang dibikin untuk membuatkan orang Tanah Melayu terbiasa dengan budaya Jepun. Mereka buat filem-filem ini dengan memperlihatkan keunggulan kehidupan keluarga Jepun, keharmonian dalam sistem sosial Jepun, kemodenan tamadun Jepun tanpa mengorbankan budaya tradisional mereka, seni dan muzik, menghormati orang tua dan kesetian mereka kepada negara dan Maharaja Jepun. 

Bagaimanapun, tak lama lepas tu, Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua dan British kembali ke Tanah Melayu. British cuba buang propaganda Jepun, jadi mereka buat garis panduan umum. Hal-hal yang digariskan adalah:

  • Kaum dan agama (apa sahaja yang boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat pelbagai budaya)
  • Babak seksual (secara umumnya macam kebogelan, terutamanya badan wanita)
  • Tahyul dan mitos (sihir menyeramkan yang boleh membuatkan orang kebal)
  • Keganasan (kaedah baru membunuh orang)

Kalau benda-benda ni korang dengar macam familiar, ada betulnya sebab… Lembaga Penapis Filem Malaysia masih gunakan peraturan ini sampai sekarang. Pada masa tu, British juga buka jawatan Pegawai Penapis kepada orang tempatan. Ini bermakna, orang tempatan pun boleh belajar pasal penapisan filem, dan ia buatkan peraturan tu lebih sesuai dengan dengan budaya kita. Ia juga buatkan orang kita belajar pasal penghasilan filem dan media. 

Tapi lepas Tanah Melayu merdeka dari British, kita lepas tu buat badan penapisan filem kita sendiri. Bagaimanapun, ia cuma bertahan selama 9 tahun, sebab ia disemak semula pada tahun 1966.

 

LPF akhirnya diperkenalkan pada tahun 1966

Imej dari LPF

Pada tahun 1965, Singapura dah disingkirkan dari Persekutuan Malaysia dan bentuk negara sendiri. Jadi, Malaysia masa tu kena tubuhkan lembaga penapisan dengan peraturan dan garis panduan sendiri. Dan sebab itulah, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) ditubuhkan pada tahun 1966. 

Semasa dalam tempoh itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut ditubuhkan. Pada mulanya, ia hanya siarkan filem tempatan dan rancangan TV, tapi kemudiannya mula ditambah dengan filem-filem luar. Lepas beberapa tahun dan peningkatan penonton, beberapa lagi saluran mula muncul macam TV3 dan NTV7. 

Bagaimanapun, dengan perkembangan moden TV, lebih banyak lagi filem dan rancangan luar masuk ke Malaysia. Ini bermakna, saluran tempatan tak dapat nak menampung kemasukan tu dan beban kerja pun mula meningkat. Kesannya, ahli LPF mula bertambah untuk isi kekurangan tu dan jadilah ia sebagai pertubuhan besar yang kita boleh nampak sekarang ni. 

Pada tahun 1998, ASTRO pun mula wujud di Malaysia. Astro jadi penyedia TV berbayar dominan di negara ni sampailah HyppTV masuk dalam industri. LPF lepas tu pandang ke arah Astro sebagai garis panduan ketika cuba memodenkan peraturan penapisan program-program TV. Dengan perkembangan industri media dan filem, LPF juga turut berkembang. Pada 2012, ia mempunyai lebih daripada 75 ahli dan mereka ni bertindak secara terus di bawah Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri

Maka sehingga ke hari ni, LPF bertanggungjawab dalam menapis segala penyiaran yang ada di Malaysia. Kalau sesuatu filem atau drama tu tak ikut piawaian yang ditetapkan, ada dua je kemungkinan – penyiarannya ditapis atau dilarang siar sama sekali. 

 

Tags:
sejarah penapisan filem
lembaga penapis filem
lpf
penjajahan jepun
filem jepun
filem british

26

Shares

A+

A-