Asklegal
Home banner 8b85a683 d5c8 4a92 b7be e03a5075e1ab

Consumer,General

Korang boleh dipenjara kalau cetak duit palsu. Tapi kalau dapat, nak bagi pada siapa?

over 5 years ago Azar Ishak

82

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Rasanya, ramai di antara kita yang dah tengok satu video viral, pasal sorang peniaga online ni kantoi kat FB live. Kisahnya, dia ni nak promosikan produk-produk dia, sambil tunjukkan berkepuk-kepuk duit RM100 atas meja. Tapi tiba-tiba, dia terambil pulak ‘duit yang masih tak dipotong’ dan tak bercetak di bahagian belakang. Pecahlah tembelang, sebab rupa-rupanya semua tu duit palsu! (Boleh tengok imej atas). 

Sebenarnya, ni bukan kali pertama kita dengar kes duit palsu ni dan antara kes terbaru, bila polis baru-baru ni menahan dua orang beradik di Kemaman, Terengganu sebab mencetak duit palsu RM100.  Pada awal tahun ni pula, ada seorang bakal pengantin ni sanggup cetak duit palsu, sebab terdesak nakkan duit. 

Disebabkan kes macam ni selalu je jadi, nampaknya ia juga menimbulkan tanda tanya kepada kita semua. Dan mungkin antara soalan yang muncul dalam pemikiran kita… 

 

Boleh ke kita cetak duit macam tu je?

Peniaga di Kemaman yang jadi mangsa terima duit palsu. Imej dari Kosmo

Jawapannya –  TAK BOLEH. Sebabnya, berdasarkan Akta Bank Negara 1958 (dipinda 2009) dah dinyatakan dengan jelas yang – tak ada sesiapapun dibenarkan mencetak atau menghasilkan semula duit Malaysia tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM)

Seksyen 27A, Akta ni menyatakan (tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal):

Kecuali dengan kebenaran Bank, tiada seorang pun boleh, dalam apa-apa saiz, skala atau warna, menggunakan apa-apa gambar atau apa-apa lukisan atau reka bentuk yang menyerupai apa-apa wang kertas atau wang syiling atau sebahagiannya, dalam mana-mana iklan atau pada apa-apa barang dagangan atau produk yang orang itu mengeluarkan, menjual, mengagih atau mengedarkannya.

Kalau korang melanggar Seksyen 27A ni, korang boleh dihukum di bawah Seksyen 51(6), yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga tak lebih RM5,000. Jadi, macam mana nak dapatkan kebenaran dari BNM ni?

Sebenarnya, BNM ada keluarkan Garis Panduan Penghasilan Semula Mata Wang Malaysia yang senaraikan beberapa prosedur dan syarat-syarat yang kena dipatuhi. Antaranya, sesiapa yang nak hasilkan semula duit Malaysia (kertas atau syiling) untuk tujuan pengiklanan atau sebagainya, diorang kena hantar permohonan bertulis kepada BNM. Diorang juga kena lampirkan sampel duit kertas/syiling yang nak dihasilkan tu bersama surat permohonan.

Selain tu, ada juga beberapa syarat yang korang kena ikut masa menghasilkan semula duit tu, antaranya:

  1. Saiz duit kertas tak boleh sama dengan saiz asal.
  2. Penghasilan semula mestilah tak mengganggu imej YDP Agong.
  3. Tandatangan Gabenor dan frasa "Wang Kertas Ini Sah Diperlakukan Dengan Nilai" pada duit tu mesti dihapuskan dengan lipatan, percetakan lebih atau beberapa kaedah lain.
  4. Ia mesti dicetak di satu bahagian sahaja supaya tak nampak macam duit tulen.
  5. Perkataan SPECIMEN’ atau ‘CONTOH’ mesti ada di atas kertas duit penghasilan semula, termasuk juga untuk paparan di media elektronik/internet.
Imej dari BNM

Tapi, tu tak bermakna yang BNM akan luluskan permohonan korang walaupun korang dah ikut semua syarat yang ditetapkan. Sebabnya, BNM masih lagi akan tolak permohonan tu kalau tujuannya melibatkan:

  1. Alkohol, rokok atau apa-apa yang sewaktu dengannya
  2. Perkara yang tak senonoh, macam keganasan atau pornografi
  3. Kandungan bersifat politik
  4. Melanggar kepentingan awam

Nampaknya, kalau nak dibandingkan dengan kes viral tu, dia cuma ikut satu peraturan je – tak cetak bahagian belakang duit palsu. Hal ni seterusnya membawa kita kepada…

 

Korang boleh dipenjara kalau cetak atau simpan duit palsu

Duit copy-paste. Imej dari Giphy

Kes duit palsu ni bukanlah jenayah ringan dan hukumannya dah diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan, dari memalsukan, memiliki, sampailah menggunakannya. Sebagai contoh, Seksyen 489A, Kanun Keseksaan dah memperuntukan hukuman penjara sampai 20 tahun dan denda kalau korang terlibat dalam aktiviti memalsukan duit.

Selain tu, kalau korang menggunakan duit palsu tu, sedangkan korang tahu yang ia palsu, korang boleh disabitkan di bawah Seksyen 489B, Kanun sama yang memperuntukkan (tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal):

Sesiapa yang menjual kepada, atau membeli atau menerima daripada, mana-mana orang lain, atau mengedar atau menggunakannya sebagai tulen, apa-apa yang palsu atau mata wang palsu atau not bank, mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai yang sama dipalsukan atau palsu, akan dihukum dengan penjara selama tempoh sehingga dua puluh tahun, dan juga akan didenda.

Malah, korang  juga boleh dihukum di bawah Seksyen 489C kerana simpan duit palsu, sedangkan korang sedar dan tahu yang ia adalah palsu:

Sesiapa yang memiliki dalam milikannya apa-apa yang palsu atau mata wang palsu atau not bank, mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai yang sama dipalsukan atau palsu dan bercadang untuk menggunakan sama seperti yang tulen atau yang boleh digunakan sebagai tulen, hendaklah dihukum dengan penjara untuk tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun.

Maknanya di sini, kesalahan menggunakan atau memiliki duit palsu, hanya boleh didakwa kalau korang sedar dan tahu yang duit tu palsu. Tapi, kalau korang dah sedar yang korang dapat duit palsu, apa yang korang boleh buat?

 

Korang kena cepat-cepat buat laporan polis

Imej dari Utusan

Inilah langkah yang paling disyorkan bila korang dapat duit palsu, selain dari panik atau simpan je duit palsu tu. Malah, BNM juga ada bagi panduan yang korang boleh buat kalau dapat duit palsu:

  1. Lambatkan orang yang bagi korang duit palsu tu dan perhatikan rupa parasnya, termasuk dengan siapa dia datang dan apa nombor pendaftaran kenderaan diorang.
  2. Jangan tulis, potong atau edarkan duit palsu
  3. Kendalikan duit tu dengan terhad (contoh: korang boleh masukkannya dalam sampul atau plastik). Tulis segala maklumat yang korang dapat seperti – macam mana boleh dapat, siapa yang bagi, di mana dan bila korang dapatnya.
  4. Bawa duit palsu tu ke balai polis terdekat dan serahkannya kepada pihak polis, lepas buat laporan. 

Selain tu, korang juga kena tahu yang BNM tak terima duit palsu dan ia juga tak boleh diganti! 

 

Berhati-hati, dan persiapkan diri korang dengan pengetahuan

Kan ada beza tu. Imej dari Iluminasi

Cuba korang bayangkan, korang ni peniaga, tapi tiba-tiba, ada pulak orang bagi duit palsu kepada korang. Dah la korang rugi, korang juga dapat masalah hasil tindakan jenayah orang tu. Walaupun pepatah ada kata – “Malang tu tak berbau”, tapi tak salah untuk kita berwaspada dan berjaga-jaga kan?

Dan antara yang korang boleh rujuk adalah panduan terbitan BNM untuk mengesan ketulenan duit Malaysia. Antaranya, duit kertas tulen ada cetakan intaglio atau kesan cetakan di beberapa bahagian duit yang ada rasa timbul masa disentuh. Contohnya macam, potret YDP Agong dan perkataan “Bank Negara Malaysia”. Selain tu, kalau kita lihat duit di bawah cahaya –  potret watermark YDP Agong ada kesan 3D dan nombor nilai duit tu pun jelas kelihatan di bawahnya.

Macam ni. Imej dari BNM

Tapi kitorang tak dapatlah nak beritahu semuanya secara terperinci, dan korang boleh klik sini atau di sini kalau nak baca panduan dari BNM.  Apa-apa pun, korang semua berhati-hatilah dengan keadaan sekeliling dan jangan leka sangat bila dapat duit terus masuk dompet. Cuba korang tengok dulu duit tu baik-baik, dan kalau rasa lain macam je, cuba kenal pasti ketulenan duit tu, berdasarkan panduan BNM. 

Tags:
kanun keseksaan
bank negara malaysia
duit palsu
panduan bnm
video viral
akta bank negara
wang palsu

82

Shares

A+

A-