Consumer
Apa yang boleh anda lakukan jika makanan yang dibeli telah rosak atau tercemar?
over 7 years ago Khaliq
[Artikel asal ditulis dalam Bahasa Inggeris. Click here for English version]
Anda baru pulang dari kedai runcit dan berhasrat untuk menyediakan makan malam. Setelah mengeluarkan tin kari ayam yang dibeli , anda mendapati:
a) Kari ayam tersebut telah tamat tarikh luputnya; atau
b) Terdapat lipas mati di dalamnya
Sedangkan kebanyakan orang akan hanya memulangkan untuk ditukar atau membuang sahaja tin tersebut, di sinilah kita patut mengetahui hak kita sebagai pengguna dan tindakan yang boleh diambil jika situasi-situasi seperti di atas terjadi.
Mari kita lihat pada dasarnya..
Peniaga harus menjual makanan yang selamat untuk dikonsumsi
Tidak kira lipas atau paku berkarat; di sini terdapat dua akta yang memelihara anda sebagai pengguna iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Makanan 1983. Artikel ini juga merangkumi makanan siap masak dari kedai - di mana akan dibincangkan kemudian.
Akta Perlindungan Pengguna menyatakan bahawa semua barangan yang dijual harus dipastikan selamat dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna. Misalnya:
Seksyen 20 Akta Perlindungan Pengguna:
“Tiada seorang pun boleh membekalkan, atau menawarkan atau mengiklankan untuk membekalkan, apa-apa barang atau perkhidmatan yang tidak mematuhi standard keselamatan..”
Bukan sahaja itu, barangan tersebut harus juga menepati Akta Peraturan Makanan 1985 yang menyentuh tentang kualiti dan standard bahan makanan. Ini bermaksud, lipas tadi (yang bukan terkandung dalam salah satu kandungan bahan makanan tersebut) tidak menepati standard dan tidak selamat untuk dimakan.
Sebaliknya, makanan yang rosak didefinisikan berdasarkan Seksyen 13 Akta Makanan (keseluruhannya atau sebahagiannya) iaitu:
Bergantung kepada keadaan, pasaraya/kedai atau pembuat/pengilang dikatakan telah membuat kesalahan sekiranya mereka menjual makanan yang tidak sesuai untuk konsumsi pengguna. Pemilik boleh dikenakan denda dan/atau hukuman penjara jika disabitkan kesalahan.
Jadi, apa yang boleh anda lakukan sekiranya terdapat cacing di dalam botol jus oren anda?
Atau lintah di dalam minuman jus apel anda. Imej dari Metro.co.uk
Situasi di atas berlaku di UK, di mana seorang wanita telah menjumpai suatu "makhluk" di dalam kotak minuman setelah mendapati warna dan bau air minuman tersebut tidak normal. Kes yang serupa juga berlaku di Malaysia, di mana mangsa meludah keluar seekor lintah hidup setelah meminum jus mangga.
Jangan lupa tempat di mana anda membeli barangan tersebut. Langkah pertama untuk anda ambil tindakan adalah dari situ - lebih mudah dan cepat. Akta Perlindungan Pengguna juga telah menggariskan beberapa panduan jika berhadapan dengan situasi sedemikian.
Sekiranya tidak terlalu serius, kesihatan anda tidak terganggu, anda boleh memulangkan barangan itu dan menukarnya dengan yang lain atau meminta pulangan wang kembali (refund) dari kedai:
Seksyen 42(1) Akta Perlindungan Pengguna:
“(1) Seseorang pembekal boleh memenuhi kehendak di bawah seksyen 41 supaya membetulkan kegagalan apa-apa barang untuk mematuhi sesuatu gerenti dengan—...
(c) menggantikan barang itu dengan barang yang serupa jenisnya; atau
(d) memberikan bayaran balik apa-apa wang yang telah dibayar..”
Bagaimanapun, keadaan boleh menjadi lebih rumit jika anda mongkonsumsi produk itu tanpa menyedari produk tersebut telah rosak atau tercemar sehingga mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan anda (seperti keracunan makanan). Dalam situasi sebegini, anda boleh menyaman pihak terbabit dan menuntut ganti rugi akibat kecuaian. Sebaik-baiknya, anda haruslah mendapatkan khidmat nasihat dari peguam yang berkelayakan terlebih dahulu.
Jangan lupa resit anda!
Anda disarankan untuk menyimpan resit bayaran sebagai bukti pembelian untuk mengelakkan pertikaian yang boleh berlaku – bukti anda membeli di kedai/pasaraya tersebut pada tarikh dan waktu yang spesifik. Jika masalah ini melibatkan kesihatan anda (kesihatan anda terganggu), adalah lebih baik jika ia diselesaikan secara langsung dengan pengilang/pengeluar atau pemilik kedai/pasaraya yang terlibat memandangkan tindakan-tindakan alternatif lain memakan masa dan kos.
Bagaimana pula jika mereka yang terbabit tidak mahu bertanggungjawab ke atas kecuaian mereka? Anda boleh menyuarakan aduan ke Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)
This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.
Tags: