Consumer, General

Sejak 2012 Malaysia dah larang jual air zam-zam... apa puncanya?

 almost 5 years ago   Azar Ishak


Selalunya, bila ada ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga atau rakan-rakan kita baru je balik dari tunaikan umrah atau haji, macam-macam buah tangan yang diorang bawa balik. Antara yang popular – mestilah kurma, kismis dan air zam-zam. Boleh dikatakan, yang bawa balik air zam-zam ni memang dah jadi kebiasaan dan tradisi masyarakat Islam di serata dunia. Tapi, bukan semua orang ada peluang nak pergi umrah atau haji, dan bukan selalu juga orang terdekat kita tunaikan ibadah-ibadah ni.

Jadinya, kadang-kadang tu ada juga di antara kita yang beli air zam-zam dari kedai-kedai tertentu atau secara online yang banyak terjual. Walaupun macam tu, baru-baru ni kita ada dengar berita yang kerajaan sebenarnya dah keluarkan larangan penjualan air zam-zam. Seriusnya kesalahan jual air zam-zam ni sampaikan sesiapa yang menjualnya boleh didenda dan dipenjara jika sabit kesalahan

Perkembangan ni nampaknya menimbulkan persoalan juga tentang kenapa kerajaan buat macam tu? Tapi, sebelum kita bercerita lebih lanjut lagi, mungkin lebih baik untuk kita kenal dulu – apa dia air zam-zam ni dan kenapa air ni cukup istimewa kepada umat Islam.

 

Air zam-zam dipercayai dah wujud sejak zaman Nabi Ibrahim lagi

Penutup telaga zam-zam yang sekarang dipamerkan di muzium. Imej dari Arab News.

Berdasarkan sejarah, air zam-zam ni dipercayai dah wujud sejak sebelum datangnya Nabi Muhammad SAW lagi, iaitu ketika zaman Nabi Ibrahim AS. Diriwayatkan, Allah SWT memberi ujian kepada Nabi Ibrahim AS apabila mengarahkan baginda membawa Hajar (isteri baginda) dan anaknya, Ismail ke sebuah lembah tandus (yang dikenali sebagai Mekah sekarang) dan meninggalkan mereka di sana. Masa di sana, Hajar mencari air untuk menghilangkan dahaganya di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.

Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari, Hajar berulang alik dari dua bukit itu sebanyak 7 kali. Akhirnya, ketika berada di puncak Bukit Marwah – Hajar terdenagr satu suara yang rupa-rupanya datang dari malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat air zam-zam. Selepas itu Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya), sehingga keluar air yang memancar. Dan air itulah yang kita kenali sebagai air zam-zam sampai sekarang.

Seterusnya berdasarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, terdapat banyak keberkatan air zam-zam ni sehinggakan ia dianggap sebagai sebaik-baik air di atas muka bumi. Makanya, air zam-zam ni menjadi cukup sinonim dalam kehidupan masyarakat Islam sehingga ke hari ni. Sumber air ini juga tak pernah kering sejak zama Nabi Ibrahim AS, sampailah sekarang. 

“Rasulullah SAW telah memberitahu kepada kita akan khasiat dan keutamaan air yang diberkati oleh Allah SWT ini… kita sebagai umat Islam perlulah mengamalkan amalan ini sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat dan ulama terdahulu.” – Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan

Tapi persoalannya sekarang, kenapa pula kerajaan Malaysia ambil keputusan nak larang air zam-zam ni dari dijual? Dan hal ni membawa kita kepada…

 

Malaysia pernah kena tegur dengan Arab Saudi pasal air zam-zam ni

Air zam-zam diberikan secara percuma di Mekah. Imej dari Dhaka Tribune.

Sebenarnya, isu larangan menjual air zam-zam ni bukannya perkara baru tapi dah dikuatkuasakan sejak tahun 2012 lagi. Buktinya, dari tahun 2012 sampailah sekarang, air zam zam bernilai lebih RM77,000 dah dirampas melalui pelbagai operasi penguatkuasaan. Walaupun begitu, sehingga tahun 2017 – penjualan air zam-zam ni nampaknya masih lagi berleluasa.

Jadinya, pada tahun yang sama (2017) juga, Kedutaan Arab Saudi dah keluarkan kenyataan pasal isu ni. Dalam kenyataan tu, kedutaan Arab Saudi kata diorang dah lama perhatikan yang air zam-zam dijual secara meluas di sekitar Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain-lain. Kenyataan tu menambah, pihak kerajaan Arab Saudi tak membenarkan eksport air zam-zam dan tindakan menjualnya boleh dianggap sebagai penipuan

Sebenarnya, kerajaan Arab Saudi pada dasarnya cuma membenarkan pengedaran air zam-zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah, serta pelawat untuk kegunaan sendiri sahaja dalam kuantiti yang terhad. Jadinya, menggunakan air zam-zam untuk tujuan komersial memang tak dibenarkan sama sekali. Selaras dengan ketetapan Arab Saudi ni, pihak kerajaan Malaysia pun meletakkan air zam-zam dalam kategori air mineral semula jadi dan ia termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

“Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan berkenaan kerana air zam-zam tidak boleh diperdagangkan. Justeru, tiada pengedar atau syarikat yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.” – Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia. Dipetik dari BH Online

Dalam masa sama, kita juga kena tahu yang selain dari air zam-zam – kerajaan Arab Saudi juga melarang eksport lain seperti:

  1. Semua jenis susu bayi
  2. Pasir semula jadi dan pasir yang mempunyai mineral
  3. Ternakan dan kuda dari semua baka (jantan atau betina)
  4. Makanan ternakan seperti barli dan Sudanese sorghum
  5. Makanan ternakan ayam seperti jagung dan kacang soya
  6. Silinder gas dengan spesifikasi Syarikat Gas & Industri Nasional (GASCO)

Jadinya, menjual air zam-zam di Malaysia dah diwartakan sebagai kesalahan dan Peraturan 397,  Peraturan-Peraturan Makanan 1985 memperuntukkan:

“(2) Mana-mana orang yang melakukan sesuatu kesalahan terhadap Peraturan-Peraturan ini yang mana tiada apa-apa penalti diperuntukkan oleh Akta apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.”

Oleh itu, kalau korang tak nak kena denda atau penjara, elakkanlah dari jual air zam-zam ni kerana ia dah dikira sebagai melanggar undang-undang.

 

Kemungkinan besar air zam-zam dipasaran tu adalah palsu

Imej dari BH Online.

Dalam isu air zam-zam ni, ada juga agamawan yang bagi pandangan. Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria ada kata yang menjual air zam-zam – tetap salah di sisi syarak sebab pihak empunya (Arab Saudi) air itu tak membenarkannya. Manakala, Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin pula bimbang yang penjualan air zam-zam ni boleh menjadi eksploitasi agama untuk perniagaan. Tambah Asri, pihaknya sejak dari dulu lagi melarang sebarang jualan produk yang menggunakan nama Islam.

Tapi apa yang pasti, ketika ini kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pemberian air zam-zam secara percuma dan menggunakan air ini untuk tujuan komersial adalah dilarang sama sekali. Malah, pada tahun 2018 sahaja, jumlah air zam-zam yang dipam di Arab Saudi mencecah lebih 8 juta liter dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat di masa akan datang. Malah, kebanyakan syarikat penerbangan dunia (termasuk di Malaysia) – hanya membenarkan 5 liter air zam-zam dibawa oleh setiap jemaah haji atau umrah. 

Jadinya, kita sebagai pengguna berhati-hatilah dalam membeli sebarang air yang didakwa sebagai air zam-zam ni. Sebabnya, kemungkinan besar air zam-zam yang kita beli tu adalah palsu. Bak kata iklan-iklan kerajaan – jadilah pengguna yang bijak!

 

This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

Tags:
mufti perak
mufti perlis
air zam-zam
kementerian kesihatan malaysia
larangan jual air zam-zam
sejarah air zam-zam
eksport air zam-zam