General
5 Fatwa Pelik Yang Pernah Diputuskan Di Malaysia, Dan Sebab Sebenar Di Sebaliknya
about 5 years ago Azar IshakSeperti mana yang kita semua ada baca atau dengar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ni menolak semakan undang-undang oleh Sister In Islam (SIS) bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkannya sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam. Mahkamah buat keputusan tu sebab Mahkamah Sivil tak ada bidang kuasa memutuskan permohonan tu dan ia sepatutnya dibuat di Mahkamah Syariah.
Kalau kita tengok definisi yang diberikan oleh tokoh ulama Islam, Dr Wahba al-Zuhaili, fatwa dimaksudkan sebagai jawapan yang diberikan oleh seorang mufti untuk sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. Tapi dalam konteks undang-undang Malaysia, pengeluaran fatwa kena ikut prosedur tertentu, dan perlu diwartakan. Kalau tak diwartakan, fatwa tu kekal sebagai pendapat mufti dan hanya sebagai rujukan hukum semata-mata.
Selain tu, kita juga ada Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang ahlinya terdiri daripada semua mufti negeri, pakar-pakar muslim dan tokoh-tokoh profesional. Tapi disebabkan hal ehwal Islam ni diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, jadinya setiap negeri juga ada Jawatankuasa Fatwa masing-masing. Maknanya di sini, tak semestinya keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan akan diterima oleh negeri, dan setiap negeri juga tak semestinya akan ada fatwa yang sama.
Tapi tak dapat dinafikan, kadang-kadang tu ada juga fatwa-fatwa yang dikeluarkan agak kontroversi atau pelik dalam pandangan masyarakat. Walaupun macam tu, mesti ada penjelasan di sebaliknya kan? Mungkin kita boleh mula dengan…
1. Yoga dan poco-poco
Pada tahun 2008, Majlis Fatwa Kebangsaan dah mengharamkan yoga kepada umat Islam, kerana senaman itu dikatakan mengandungi unsur-unsur fizikal dan spiritual yang bertentangan dengan syariat Islam. Yoga turut dikatakan, terdapat unsur-unsur mentera dan pemujaan dalamnya dan juga berkait rapat dengan ajaran Hindu.
Bagaimanapun, Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin tak berapa setuju dengan keputusan tu dan nasihatkan keputusan tu janganlah kaku sangat.
“Majlis Fatwa jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif. Banyak lagi amalan-amalan sukan yang diambil dari budaya lain seperti tai chi, judo, taekwando. Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan.” – Dr Asri Zainul Abidin, dipetik dari mStar.
Sehingga ke hari ini, dah ada beberapa negeri yang terima fatwa ini, seperti – Melaka, Kelantan, Pahang, Perak, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Dah habis pasal isu yoga, timbul pula isu pengharaman tarian poco-poco. Sebabnya, pada tahun 2011, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dah menfatwakan tarian poco-poco sebagai haram. Perkara ini diumumkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan alasan – tarian tu mempunyai unsur kepercayaan Kristian dan pemujaan roh. Selain Perak, Selangor pun keluarkan fatwa pasal isu poco-poco ni, tapi taklah sampai mengharamkannya, sebaliknya ia masih boleh dilakukan kalau tak bercanggah dengan garis panduan hiburan Islam.
Walaupun macam tu, Majlis Fatwa Kebangsaan tak terima fatwa Perak dan kata tak ada halangan untuk buat tarian poco-poco (selagi tak langgar garis panduan hiburan Islam). Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin masa tu kata, kalau ia tak melanggar garis panduan Islam dan baik untuk kesihatan, maka ia tak dihalang. Dr Asri Zainul Abidin (masa tu bekas Mufti Perlis) pun kata tak ada keperluan nak haramkan poco-poco, sebaliknya hukum tarian tu adalah harus sahaja.
Tapi Harussani tetap dengan pendiriannya dan kata Perak tak akan tarik fatwa berkenaan.
“Tidak akan tarik balik… benda dah haram, benda dah sesat buat apa mesti nak tarik balik? Haram tetap haram dan orang yang mengamalkannya boleh bawa kepada syirik.” – Harussani, dipetik dari Perak Today.
2. Pokemon Go
Beberapa tahun lepas, tak dapat dinafikan yang permainan Pokemon Go jadi macam wabak dalam masyarakat dunia. Orang Malaysia pun tak terlepas dari main permainan trending ni. Dalam masa sama, banyak juga kita dengar pasal kejadian kemalangan jalan raya sebab ramai yang leka sangat main permainan ni. Jadinya, pada tahun 2016, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah dah mengeluarkan fatwa mengharamkan Pokemon Go.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Pokemon Go dan Pokemon tak dibenarkan untuk umat Islam berdasarkan nas (al-Quran dan hadis) dan juga faktor maslahah (kebaikan) dan kemudaratan yang berlaku. Fatwa ini dikeluarkan setelah meneliti keburukan permainan itu dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi, Universiti al-Azhar dan beberapa negara yang mencegah permainan itu.
“Ini selari dengan kaedah Sadd al-Dzari’ah (menutup pintu-pintu menuju kerosakan). Kami syorkan pilihlah bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, dan juga tiada unsur khurafat yang mengarut.” – Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Pengharaman ni kemudiannya dapat reaksi ramai pihak, sama ada yang menyokong atau membantah. Majlis Fatwa Kebangsaan lepas tu kata, tak ada keperluan untuk majlis tu bersidang membincangkan isu tersebut. Tapi, Majlis Fatwa Kebangsaan menyokong keputusan fatwa Wilayah Persekutuan. Lepas tu, ada beberapa negeri yang turut sama mengharamkan Pokemon Go iaitu seperti Pahang dan Kedah.
3. Ratu Cantik
Fatwa tentang menyertai pertandingan ratu cantik dan menganjurkannya memang dah lama ada dan banyak kontroversi yang melingkarinya. Sebagai contoh, Fatwa Negeri Selangor dah mengharamkan wanita Islam dari menyertai apa-apa pertandingan ratu cantik sejak tahun 1995 lagi. Pengharaman ratu cantik ni pernah jadi kontroversi pada tahun 1997 bila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dah menahan tiga orang gadis Melayu-Islam yang menyertai pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Petite 1997.
Kontroversi ni dah menimbulkan krisis antara Mufti Selangor masa tu, Tuan Guru Ishak Baharom dengan kerajaan pusat, bila kerajaan pusat masa tu anggap penahanan tiga remaja berkenaan sebagai keterlaluan. Akibatnya, Ishak dah ditamatkan kontraknya sebagai Mufti Selangor pada Oktober 1997. Boleh klik sini kalau nak baca lagi terperinci.
Pada tahun 2013, kes yang agak sama sekali lagi jadi, bila empat gadis Muslim dah digugurkan dari senarai akhir pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013. Mereka digugurkan dari pertandingan tu selepas dapat kritikan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang kata penyertaan mereka tu sebagai ‘berdosa’.
Hal ni sebenarnya jadi, sebab sejak tahun 1996, fatwa tentang ratu cantik memang dah diwartakan di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan). Akibatnya, bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dah buka kertas siasatan terhadap keempat-empat peserta tersebut mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, kerana menghina agama Islam. Tapi, lepas tu mereka buat permohonan maaf rasmi kepada JAWI dan kata mereka tak ada niat nak menyinggung perasaan masyarakat Islam dan agama mereka sendiri.
Buat masa sekarang, majoriti negeri di Malaysia dah menfatwakan penyertaan ratu cantik oleh orang Islam dan menganjurkannya sebagai haram.
4. BERSIH 3.0
Seperti mana kita tahu, sebelum PRU-14, beberapa siri Perhimpunan BERSIH dah diadakan, dengan menyaksikan BERSIH 5 pada tahun 2016 sebagai yang terakhir sehingga artikel ni ditulis. Salah satu Perhimpunan BERSIH yang orang selalu ingat, mestilah BERSIH 3.0 yang dilaporkan bertukar huru-hara bila mana penunjuk perasaan melanggar penghadang polis sebab nak masuk ke kawasan larangan di Dataran Merdeka, dan ada juga kereta polis yang diterbalikkan.
Disebabkan kes itu, Majlis Fatwa Kebangsaan dah memutuskan bahawa – haram kepada umat Islam dari menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tak baik, melanggar undang-undang, mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Menurut pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, umat Islam yang menyertai demonstrasi macam tu kena insaf dengan perbuatan mereka.
Hasil dari keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ni, ramailah pihak yang rasa tak puas hati terutamanya di kalangan para pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka kata, keputusan majlis fatwa tu berat sebelah dan bertentangan dengan gambaran sebenar Perhimpunan BERSIH.
“Majlis Fatwa harus lihat dari semua sudut pandangan bukan hanya dari satu pandangan sahaja dan mereka harus lihat siapa yang cetuskan huru-hara dalam perhimpunan BERSIH 3.0.” – Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS. Dipetik dari Selangorkini.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim masa tu menafikan yang Majlis Fatwa Kebangsaan ada keluarkan fatwa mengharamkan BERSIH 3.0. Jelasnya, ia cuma nasihat dari majlis fatwa tentang penglibatan umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan yang boleh membawa kerosakan dan musibah kepada negara.
5. Bank susu ibu
Disebabkan kepentingan susu ibu terhadap tumbesaran bayi sangat penting, maka ramai di kalangan ibu-ibu yang memilih untuk memberikan susu ibu kepada bayi mereka dari menggunakan susu formula. Keperluan terhadap penyediaan susu ibu ini juga dah menyebabkan bank susu ibu mula diperkenalkan di Washington pada tahun 1910. Idea tu kemudiannya dibawa ke Eropah, negara-negara Asia dan sampailah ke Malaysia.
Tapi bila idea ni sampai ke Malaysia, ia nampak macam tak berapa diterima dan tak berapa praktikal sebab ia berkait langsung dengan perspektif Islam. Jadinya, pada tahun 2011, Majlis Fatwa Kebangsaan dah membincangkan isu ini. Akhirnya, majlis fatwa memutuskan – penubuhan bank susu adalah haram, kerana penubuhan bank susu ibu boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan.
Hal ini kerana, penubuhan bank susu ibu ni berkait rapat dengan syarat-syarat pengharaman perkahwinan. Sebabnya, mana-mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan mereka adalah diharamkan. Susuan tu tak kisahlah dari melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tak langsung.
“...memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.” – Majlis Fatwa Kebangsaan.
Bagaimanapun, masih ada pandangan-pandangan dari tokoh Islam dan pertubuhan Islam tertentu yang kata penubuhan bank susu ibu ni sebagai harus dan bukannya haram.
Setiap fatwa tu, ada sebab dan latarnya yang tersendiri
Sebenarnya, banyak lagi fatwa-fatwa yang agak kontroversi dan menarik perhatian ramai, contohnya macam – isu pengharaman filem ‘The Message’, isu rokok dan vape, penggunaan bulu babi dan sebagainya. Namun apa yang pasti, setiap fatwa yang dikeluarkan ni adalah hasil dari persoalan-persoalan yang wujud di kalangan masyarakat. Tapi, ada juga kadang-kadang tu fatwa-fatwa yang dikeluarkan masih lagi diperdebatkan atau disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
Tapi kalau kita perhatikan betul-betul setiap fatwa yang dikeluarkan (sama ada dari peringkat kebangsaan atau negeri), ia selalunya datang dengan penerangan panjang lebar dan dah mengambil kira pandangan dari al-Quran, hadis serta pandangan para ulama muktabar. Jadinya, sesuatu fatwa tu bukanlah senang-senang je nak diputuskan.
Dan seperti mana yang dah dinyatakan di awal tadi, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwa masing-masing, jadi janganlah korang pelik kalau dapat tahu ada fatwa-fatwa berbeza di antara negeri-negeri Malaysia. Fatwa-fatwa ni pula kemudiannya kena diwartakan, supaya ia boleh dikuatkuasakan. Sebab itulah ada peruntukan undang-undang di setiap negeri pasal – kesalahan memberikan pendapat yang bertentangan dengan fatwa, dan sesiapa yang melanggar fatwa pula boleh didakwa di bawah kesalahan menghina pihak berkuasa agama.
Akan tetapi, kalau kesalahan melanggar fatwa itu dibuat di luar sempadan negeri yang mewartakannya, maka tindakan menurut undang-undang tidak boleh diambil kepada individu tersebut. Oleh itu, boleh dikatakan yang institusi mufti dan fatwa ni sebenarnya adalah salah satu institusi penting di negara ini. Cumanya, kekeliruan di kalangan masyarakat harus diatasi bila melibatkan berbezaan fatwa di antara negeri atau kebangsaan.